TAMAN REKREASI AWAM DI FASA 1 DIBENAR BUKA UNTUK TUJUAN RIADAH

(GAMBAR ARKIB: Mohd RASFAN / AFP)

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan kesejahteraan rakyat dipelihara terutamanya dalam usaha mengurangkan tekanan terhadap kesihatan mental, kerajaan bersetuju membenarkan taman-taman rekreasi awam bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibuka bagi tujuan aktiviti riadah berkuatkuasa 16 Ogos 2021.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hanya aktiviti yang boleh dilakukan secara individu seperti jogging, berbasikal dan bersenam dibenarkan, selari dengan prosedur operasi standard (SOP) sukan dan riadah dalam Fasa 1 PPN.

“Orang ramai juga hanya dibolehkan mengunjungi taman-taman rekreasi awam di kawasan kejiranan sahaja. Janganlah rentas negeri atau daerah untuk pergi ke taman rekreasi lain.

“Kebenaran ini amat penting untuk rakyat mendapat lebih masa berada di kawasan yang terbuka dan mempunyai sistem pengudaraan yang lebih baik berbanding hanya terkurung di rumah. Jadi, saya amat berharap agar kemudahan ini tidak disalah guna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas Muhyiddin Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat. – AlHijrah Online

Leave a Reply