TAMATKAN ‘DRAMA TIMUR TENGAH’, GAZA PERLU SOKONGAN KITA

OLEH SERIEFFA MUSHTAFA ALBAKRY
Tidak cukup drama politik, artis dan golongan yang dilabel kayangan yang menyesakkan dada, muncul pula ‘drama Timur Tengah’.
Wataknya dikaitkan dengan insan-insan yang dipandang mulia berdasarkan keperibadian masing-masing.
Namun perlukah rakyat Malaysia berdepan ‘drama’ ini di kala mereka berdepan cabaran di rumah dan pejabat ketika pandemik?
Kita semua mempunyai kepentingan masing-masing tetapi drama ini harus ditamatkan segera.
Watak antagonis, superhero dan tukang karut mungkin menghiburkan sesetengah pihak, tetapi ‘getahnya’ pada Gaza.
Adakah kita mahu ia berpanjangan? Jangan muncul sekuel di saat Gaza perlukan sokongan kita.
Realiti yang mereka lalui setiap hari sudah cukup membebankan dan jangan sampai niat sebenar untuk menolong mereka dilupakan.
Perlu kita ingat, drama di Gaza bukan rekaan.
Dalam drama pasti ada watak tambahan, nampak kecil atau tempelan tetapi ia sebenarnya memberi impak besar.
Watak ini sama ada jadi tukang damai atau tukang cucuk. Mungkin itulah watak yang sebenar dipegang kita.
Kenyataan ini mungkin pedas tetapi tanpa sedar itulah kita, yang membenci, menghina, menokok cerita dan menyanjung sehingga kaduk naik junjung.
Setiap drama yang ditayangkan pasti ada penerbit atau penyiar tersendiri.
Jangan kerana dek nak mengejar rating yang dimahukan lupa maruah individu bermaruah jadi taruhan.
Saya tidak menuding tangan ke arah sesiapa tetapi lebih kepada persoalan, drama jenis apa sedang ditayangkan?
Setakat ini yang kelihatan hanya cerita separuh masak dari semua pihak. Pendedahan demi pendedahan tetapi siapa yang untung?
Mengakhiri plot drama ini, saya cadangkan kesemua watak bersemuka dan berdamai malah itulah yang dianjurkan Islam iaitu bermaaf-maafan.
Tidak mungkin maruah terhakis dek sifat pemaaf. — AlHijrah Online
Penulis adalah Editor / Penerbit Berita Alhijrah.
Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.