TANGGAL PAKAIAN: JAWI SUDAH AMBIL TINDAKAN

KUALA LUMPUR: Isu video tular seorang wanita didakwa mempersenda dan menghina kesucian agama Islam dengan menanggal pakaian di khalayak ramai sudah dalam tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad dalam kenyataan media hari ini berkata, beliau telah meminta pihak JAWI supaya mengambil tindakan undang-undang sedia ada dengan kadar segera.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang menghina kesucian agama Islam ,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Beliau turut memetik sebuah hadis riwayat Imam Al Bukhari bermaksud “Jika engkau tidak merasa malu, maka buatla sesuka mu”.

Dalam pada itu, Idris turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan.

Sementara itu Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, siasatan awal telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan JAWI.

Ujarnya sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Seksyen 7 iaitu menghina, atau menyebabkan dipandang hina, dan lain-lain agama Islam dengan denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“JAWI sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertujuan menghina dan mencemarkan imej serta kesucian Islam khususnya yang berlaku di Wilayah-Wilayah Persekutuan lebih-lebih lagi menjelang ketibaan Hari Raya Aidiladha yang mulia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini tular video seorang wanita yang mendakwa dirinya menghafal 15 juzuk al-quran menanggalkan baju kurung dan tudung di khalayak ramai.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah kelab sekitar Taman Tun Dr Ismail. — AlHijrah Online

Leave a Reply