TERTARIK DENGAN ISLAM, WARGA AMERIKA LAFAZ SYAHADAH DEPAN SHEIKH ABDUL RAHMAN AS SUDAIS

As Sudais bersama Steve sebelum warga Amerika itu melafaz dua kalimah syahadah.

ARAB SAUDI: Hidayah milik Allah. Jatuh hati dengan keindahan, keadilan, dan sifat kasih sayang yang sentiasa diutamakan dalam ajaran Islam, seorang rakyat Amerika membuat keputusan memeluk agama suci itu.

Lebih indah dan mengujakan, beliau yang bernama Steve dibawa bertemu dengan Presiden Haramain yang juga Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Abdul Rahman As Sudais untuk melafaz dua kalimah syahadah.

“Segala puji bagi Allah. Arab Saudi sentiasa ‘membuka pintu’ untuk sesiapa sahaja, malah Allah juga memberi pelbagai nikmat dan keberkatan khususnya kepada sesiapa yang terbuka hati memeluk Islam.”

Sheikh Abdul Rahman As Sudais

Sementara itu, lafaz syahadah dipimpin As Sudais sendiri dan diikuti Steve. Beliau kemudian diterangkan pengertian lafaz syahadah itu. As Sudais kemudian meminta agar Steve diberi minum air zam-zam.

Rakaman video Steve memeluk Islam itu tular di media sosial sejak beberapa jam lalu.

Difahamkan, Steve sebelum ini mengakui tersentuh dengan sikap toleransi dan keamanan sesama masyarakat pelbagai bangsa dan agama ketika berada di Arab Saudi.

Steve juga memuji layanan dan hospitaliti Arab Saudi ke atasnya.

Steve merupakan pekerja di pejabat pelancongan di Miami, Amerika Syarikat. Beliau berkunjung ke Abha, Arab Saudi bersama rakan-rakannya untuk bercuti.

Secara kebetulan, As Sudais turut berada di kejiranan di mana Steve menginap. As Sudais dilapor bertanya siapakah jiran-jiran sekeliling yang tinggal di sekitar kawasan itu, untuk diberikan air zamzam dan kurma sebagai cenderahati.

Rezeki Steve di Abha, beliau antara penerima hadiah daripada As Sudais, yang disampaikan pegawai penterjemah kepada As Sudais, Saad Al Matrafi.

Steve begitu kagum dan teruja dengan sikap memuliakan tetamu termasuk pelancong sepertinya oleh pihak As Sudais. Steve juga jatuh hati dengan keindahan Islam yang dilihatnya melalui pemberian As Sudais itu.

Sementara itu, Al Matrafi adalah individu bertanggungjawab membawa Steve bertemu As Sudais, sebelum lafaz memeluk Islam dibacakan.

“Steve tidak dapat menahan sebak di atas jemputan mengerjakan umrah dan menziarahi Masjid Nabawi oleh Sheikh Abdul Rahman As Sudais.”

Saad Al Matrafi, Pegawai Terjemahan Sheikh Abdul Rahman As Sudais

Sementara itu, As Sudais mengarahkan para pegawainya untuk mengiringi Steve ke Makkah untuk menunaikan umrah dan mengunjungi Masjid Nabawi di Madinah. -AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply