TOKOH KEWARTAWANAN, DATUK ABDUL JALIL ALI MENINGGAL DUNIA

PETALING JAYA: Tokoh kewartawanan dan penulisan, yang juga Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali, 66, meninggal dunia pagi tadi.
Pengesahan pemergiannya itu dibuat anak ketiga Allahyarham, Haikal Abdul Jalil menerusi laman Facebooknya yang memberitahu bahawa bapanya meninggal dunia jam 6.32 pagi tadi.
Turut memuat naik status tentang kematian Allahyarham, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.
Sehingga berita ini ditulis, jenazah masih berada di hospital dan dijangka dikebumikan malam ini, berdasarkan makluman menerusi Twitter Datuk Hussamuddin.

Tidak ketinggalan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, beberapa pemimpin politik kerajaan dan pembangkang.





Memetik Sinar Online, Allahyarham Abdul Jalil adalah Profesor Adjung di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah.
Selain menjadi kolumnis di Sinar Harian, beliau adalah penulis buku terbitan anak syarikat Karangkraf.
Antara tulisan Allahyarham Abd Jalil adalah Dari Menara KL; Asam, Garam, Gula dan Kopi; Asam Pedas Sirap Bandung; Teh Tarik Kurang Manis dan Kopi O Tanpa Gula.

Allahyarham juga kerap kali diundang sebagai ahli panel dalam pelbagai forum yang dianjurkan pelbagai pihak termasuk universiti-universiti tempatan. – AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi