TH BANTU DAPATKAN VAN JENAZAH DWIFUNGSI

SUMBER FOTO: BERNAMA

KOTA BHARU: Penantian lebih 10 tahun jemaah Masjid Kota Jembal Mukim Tok Ku untuk mendapatkan sebuah van jenazah, berakhir selepas mendapat perhatian pihak Lembaga Tabung Haji (TH) Kelantan.

Imam Muda masjid berkenaan Mohd Diah Awang Sof berkata, permohonan van jenazah tersebut dilakukan oleh ahli jawatankuasa masjid itu, berikutan berlaku beberapa kes kesulitan semasa kematian.

“Pernah berlaku pihak kami terpaksa membawa jenazah dengan menggunakan lori ikan berpagar, kerana van jenazah yang ada uzur, dan tidak lengkap dari segi undang-undang jalan raya.

“Ada juga kes semasa jenazah hendak dihantar ke Terengganu kami terpaksa keluarkan kos tinggi bagi menyewa van jenazah luar, kerana tiada van jenazah yang elok,” katanya selepas Majlis Penyerahan Van Jenazah Dwifungsi dari Pengarah TH Kelantan, Amat Kassim Pait kepada Mohd Diah di masjid tersebut di sini hari ini.

Sementara itu, Amat Kassim berkata pemberian van jenazah dwifungsi berharga kira-kira RM100,000 kepada masjid berusia 65 tahun itu diharap dapat digunakan sebaik-baiknya oleh jemaah dan penduduk kampung.

“Van dwifungsi ini bukan digunakan untuk membawa jenazah ke kubur sahaja, sebaliknya mereka juga boleh menggunakan van ini untuk urusan lain yang diperlukan seperti pentadbiran, sukan dan lawatan. 

“Sejak tahun lalu, TH Kelantan telah menyerahkan tiga van jenazah seperti ini iaitu di Tanah Merah, Machang dan Kota Jembal,” katanya.

Katanya, TH juga akan mempergiatkan usaha mendekati komuniti dalam aktiviti tanggung jawab sosial korporat (CSR), termasuk memberi bantuan dan zakat kepada mereka yang memerlukan. — BERNAMA

Leave a Reply