TH KELUAR SURAT TAWARAN HAJI 2023 KEPADA 31,600 JEMAAH RABU INI

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan surat tawaran haji bagi tahun 2023 secara berperingkat bermula Rabu, 22 Mac ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata ia melibatkan seramai 31,600 jemaah haji dan akan mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada 2020.
“TH akan mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada tahun 2020, diikuti dengan mereka yang giliran tunai haji pada tahun 2021 dan seterusnya tahun 2022 dan 2023.
“Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan,” katanya dala sidang media di sini hari ini.
Katanya bakal haji terpilih boleh menyemak tawaran haji bagi tahun 2023 menerusi aplikasi THiJARI.
Bakal haji juga perlu lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran tersebut dalam tempoh tujuh hari bekerja melalui aplikasi THiJARI atau untuk kes-kes tertentu boleh mengunjungi mana-mana cawangan TH yang berdekatan.
Dalam pada itu, rayuan haji melalui platform dalam talian THiJARI akan dibuka mulai 27 Mac ini, dengan memberi keutamaan kepada rayuan mahram.–AlHijrah Online