TIADA PELANTIKAN PENGURUS HOTEL TABUNG HAJI BUKAN ISLAM – AHMAD MARZUK

Sumber: Facebook Ustaz Ahmad Marzuk Shaary

PUTRAJAYA: Syor pelantikan seorang bukan Islam sebagai Pengurus Hotel milik Tabung Haji telah ditolak oleh Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji.

Ia susulan tular tentang memo cadangan lantikan pengurus bukan Islam daripada pihak pengurusan tertinggi Tabung Haji.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary menyatakan tiada sebarang penglibatan dan perbincangan daripada pihak Menteri atau Timbalan Menteri dibuat sebelum dikemukakan kepada Lembaga Pengarah.

Walau bagaimanapun, cadangan oleh pihak tertinggi Tabung Haji tersebut telah ditolak di dalam Mesyuarat Lembaga Pengarahnya.

“Dengan penolakan ini maka tidak berbangkit lagi soal lantikannya; dan saya ingin menjelaskan secara tuntas dan muktamad bahawa tidak berlaku lantikan Pengurus Besar bukan Islam tersebut; sebagaimana dakwaan atau kegusaran sesetengah pihak”, katanya.

Ahmad Marzuk berkata, pihak Tabung Haji telah diarahkan untuk kemukakan semula cadangan pengurus besar hotel yang beragama Islam supaya lebih sesuai dan tepat dengan visi dan roh institusi Tabung Haji.

Setiap agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) katanya, diingatkan untuk sentiasa peka dengan tindakan yang boleh mengundang kerisauan dan keresahan rakyat.

“Saya menghargai segala komen dan pandangan masyarakat serta sentimen mereka yang gelisah dengan isu sebegini.”

Kerajaan akan memastikan urus tadbir yang melibatkan Tabung Haji, kepatuhan syariah dan sensitiviti umat Islam akan terjamin, di samping memulihkan prestasi kewangan institusi tersebut.–AlHijrah Online

Leave a Reply