TIDAK WAJIB PERIKSA SUHU BADAN UNTUK MASUK PREMIS KPM

Sumber Gambar: AFP

PUTRAJAYA: Bermula 11 Februari 2022, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak lagi mewajibkan pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke premis institusi pendidikan di bawah KPM.

Penguatkuasaan tersebut selari dengan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 8 Februari lalu berkenaan pemansuhan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk ke mana-mana premis.

Bagaimanapun, KPM dalam kenyataannya hari ini memaklumkan semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat masih diwajibkan untuk mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis institusi pendidikan bawah KPM.

“Sebagai langkah keselamatan, ibu bapa atau penjaga dimohon untuk memastikan anak-anak jagaan berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah.

“Murid yang bergejala atau mempunyai ahli keluarga yang disahkan positif COVID-19 serta tinggal serumah adalah tidak dibenarkan untuk hadir ke sekolah.

“Tahap kesihatan murid semasa berada di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya,” jelas kenyataan KPM hari ini.

Dalam pada itu, KPM turut menyarankan ketetapan tersebut turut diguna pakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM.–AlHijrah Online

Leave a Reply