TIGA PEMIMPIN PAKATAN HARAPAN MENGHADAP SULTAN PERAK

IPOH: Tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta pagi tadi.

Ia susulan pentadbiran Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang tumbang semalam ekoran gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) semalam.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi masuk ke istana berkenaan pukul 10.40 pagi.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming
Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi

Ketiga-tiga pemimpin PH negeri itu difahamkan memohon menghadap Sultan Perak bagi menyembah maklum mengenai situasi politik terkini negeri itu.

Media yang cuba mendapatkan reaksi mereka bagaimanapun gagal apabila ketiga-tiganya enggan keluar dari kenderaan masing-masing.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Annuar Zaini berkata, Sultan Nazrin menggesa parti politik di Perak untuk mencari formula terbaik menyelesaikan krisis politik di negeri itu.

“Segala pandangan itu didengari tetapi bukanlah tanggungjawab untuk Sultan campur tangan dalam urusan parti masing-masing.

“Sultan hanya boleh menasihatkan. Carilah formula terbaik untuk menubuhkan kerajaan,” kata Annuar kepada media di perkarangan Istana Kinta hari ini.

Beliau turut mengesahkan Sultan Nazrin turut berkenan menerima menghadap Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Istana Kinta pukul 10 pagi esok. – AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply