TINGKATKAN DENDA HUKUMAN GUNA LALUAN KECEMASAN

KUALA LUMPUR: Orang ramai mahu kerajaan meningkatkan denda dan hukuman kepada pihak yang masih berdegil menggunakan laluan kecemasan sehingga menyebabkan kemalangan maut.

Ini kerana hukuman sedia ada di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, iaitu denda RM2,000 atau penjara tidak kurang setahun, dilihat gagal menghalang pengguna jalan raya daripada bersikap demikian.

Saranan orang ramai itu berdasarkan tinjauan AlHijrah Online di Lebuhraya Persekutuan terhadap mereka yang menggunakan laluan kecemasan.

Penggunaan laluan kecemasan menjadi beban kepada ambulans dan mereka yang betul-betul dalam kecemasan, malah boleh menyebabkan kemalangan maut.

Peguam dari Lembah Klang, Abas Saad, 73, berkata sikap pengguna jalan raya degil itu menunjukkan rakyat negara ini mempunyai mentaliti kelas ketiga walaupun negara telah membangun.

“Saya setuju jika denda itu ditingkatkan sebagai pengajaran buat semua pengguna jalan raya,” katanya ketika ditemui di Stesen LRT Masjid Jamek di ibu negara di sini hari ini.

Pegawai bank, Muhammad Adi Syukri, 24, berkata pihak kerajaan patut mengkaji semula hukuman yang dikenakan itu.

“Hukuman ini setimpal atau tidak, bergantung kepada diri sendiri. Kerajaan kena kaji semula,” katanya.

Kakitangan swasta, Nur Adlina Mohd Nor, 29, berpendapat hukuman itu perlu ditingkatkan bagi mencegah pengguna jalan raya menggunakan lorong kecemasan.

“Penalti atau denda itu perlu dinaikkan lagi supaya orang sedar untuk tidak menggunakan lorong kecemasan dengan sewenang-wenangnya,” katanya.

Rekod jumlah kemalangan maut bagi tempoh 29 Mei hingga 10 Jun lalu menunjukkan sebanyak tiga kes kematian direkodkan dalam Op Selamat 15 membabitkan Lorong kecemasan di Zon Tengah A meliputi Shah Alam, Selangor hingga Tanjung Malim, Perak. – AlHijrah Online/ Zain Shamil

Leave a Reply