TUDUH TIDAK SOLAT: ATM MAAFKAN ASRI JANGGUT

Kenyataan media ATM tentang permohonan maaf Asri Janggut

KUALA LUMPUR: Meski pun menyifatkan kenyataan Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut yang menghina anggota pasukan keselamatan dan penguatkuasa sebagai keterlaluan dan mengguris hati, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menerima permohonan maaf pengasas Hot Burger Malaysia itu.

Asri Janggut semalam membuat permohonan maaf menerusi media sosial selepas kenyataannya yang mendakwa askar dan polis tidak menunaikan solat mengundang rasa tidak puas hati warga net termasuk anggota pasukan keselamatan.

Dalam kenyataannya, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menyifatkan manusia biasa sememangnya tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan.

“Semoga apa yang berlaku dapat dijadikan sebagai satu pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia supaya sentiasa peka dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau pendapat dan fakta yang boleh mencetuskan sebarang polemik.”

Jeneral Tan Sri Affendi Buang,
Panglima ATM

Menurut Affendi lagi, ATM berharap supaya perkara seumpama ini tidak akan berulang, pada masa sama menyeru masyarakat untuk tidak membangkitkan lagi perkara itu di khalayak umum bagi menjaga keharmonian semua.

“Sesungguhnya, memaafkan kesalahan orang lain itu adalah dituntut dalam agama Islam kerana Islam adalah agama perdamaian dan kemaafan.”

Jeneral Tan Sri Affendi Buang,
Panglima ATM

Susulan kenyataan Asri tempoh hari, Bukit Aman membuka kertas siasatan selepas menerima laporan mengenai tuduhan berkenaan.

Asri Janggut

Kelmarin, tular klip video memaparkan kenyataan yang dibuat Asri, 42, yang disifatkan mengguris hati petugas keselamatan.

Selain menuduh askar dan polis tidak menunaikan solat dan merokok, Asri turut mempertikai sama ada pernahkah anggota keselamatan bertanyakan kepada anak mereka tentang kalimah syahadah. – AlHijrah Online

Leave a Reply