Mak Cik Gelang Pink Dipenjara Sehari, Denda RM8,000

IPOH: ‘Mak Cik Gelang Pink’ yang sebelum ini tular dipenjara sehari dan denda RM8,000 di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini selepas didapati bersalah tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian ketika dikenakan perintah kuarantin di rumah.

Tertuduh, Nur Emah Mohamad Hashim, 72, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabihah Mohd Noor. 

Mengikut pertuduhan, Nur Emah didakwa tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian dengan mengunjungi Restoran Hanaz Cafe di Halaman Meru Permai pada pukul 8 pagi 6 Julai lalu bersama keluarga selepas tiba dari Selangor untuk bersarapan. 

Tertuduh didapati  tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Subseksyen 15 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 22 (B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 24 (A) Akta yang sama dengan hukuman dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau didenda atau dengan kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Ahmad Fakurazi Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mengikut fakta kes, Jabatan Kesihatan Negeri Perak menerima aduan berhubung gambar tular di media sosial menunjukkan wanita memakai gelang perintah pengawasan di rumah tidak berada di alamat yang diperintahkan dan didapati keluar makan di restoran di Meru Raya.

Hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta mendapati tertuduh dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian mengikut Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula 4 sehingga 18 Julai. — AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply