UMRAH: ARAB SAUDI BELUM UMUM APA-APA

Masjidil Haram lengang sejak wabak COVID-19 mula menular di seluruh dunia

KUALA LUMPUR: Belum ada sebarang pengumuman rasmi dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan visa bagi menunaikan umrah setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Albakri berkata, perkara itu dinyatakan kepadanya oleh Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussein Saeed Qattan dalam satu pertemuan baru-baru ini.

“Bila saya bertemu Duta Arab Saudi empat hari lalu dalam majlis makan malam, saya utarakan agak-agaknya bila dibuka visa umrah secara rasmi. Dia kata setakat ni tiada pengumuman (rasmi) lagi. Bahkan situasi di Arab Saudi walaupun COVID-19 dah turun namun berbanding keadaan sebenar masih lagi banyak.”

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Albakri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Dr Zulkifli Mohamad Albakri

Zulkifli berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kursus Pasca Perkahwinan Islam ‘Sehati Sejiwa’ anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di ibu negara hari ini.

Acara berkenaan disertai 15 pasangan yang terpilih bagi mengikuti kursus secara sukarela dengan tujuan mengukuhkan ilmu pengetahuan masing-masing dalam mengukuhkan keharmonian rumah tangga.

Baru-baru ini, Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, jemaah umrah perlu membuat permohonan kemasukan ke tanah suci terlebih dahulu sebelum memohon visa umrah sebagai langkah waspada terhadap ancaman COVID-19. – AlHijrah Online / Abdul Hakim Hasan

Leave a Reply