“SAYA MINAT DALAMI ISLAM, PELBAGAIKAN ILMU” – DHARSHINI

Zulkifli meluangkan masa berbual-bual dengan Dharshini.

KUALA LUMPUR: Pelajar bukan Islam yang mendapat markah A+ dalam subjek Tasawwur Islam, M. Dharshini teruja dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Albakri di sekolahnya di Danau Kota, Setapak hari ini.

Pelajar tingkatan lima itu mencuri perhatian rakyat Malaysia hari ini selepas gambarnya bersama kertas ujian beserta markah bagi subjek Tasawwur Islam, tular di media sosial sejak semalam.

Dia memperoleh markah 89 peratus, yang disifatkan warganet sebagai bukan mudah untuk seseorang yang bukan beragama Islam untuk memperoleh markah sedemikian.

Zulkifli yang kagum dengan pencapaian Dharshini hadir ke SMK Danau Kota untuk bertemu dengan anak sulung daripada tiga beradik itu sebelum hadir ke program seterusnya di ibu negara. Turut serta, pengetua sekolah berkenaan.

Zulkifli sempat bertanyakan jenis-jenis soalan yang dijawab pelajar berkenaan dalam subjek Tasawwur Islam, termasuk ‘menguji’ Dharshini tentang siapakah nabi-nabi yang diberi gelaran ‘Ulul Azmi.

Dharshini berjaya menjawab empat daripada lima nama nabi dengan tepat.

“Nabi Muhammad Salallahu’alaihi wassalam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Isa… Lagi satu Nabi saya lupa.”

M. Dharshini
Pelajar Cemerlang Tasawwur Islam

Zulkifli membantu Dharshini menjawab nama satu lagi nabi ‘Ulul Azmi adalah Nabi Musa.

Sumber: Facebook Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Sementara itu, Dharshini dilapor berhasrat menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kebetulan tidak jauh dari kediaman keluarganya.

“Memandangkan bercadang menyambung pengajian di UIAM, saya pilih Tasawwur Islam sebagai subjek elektif dengan harapan dapat memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.”

M. Dharshini
Pelajar Cemerlang Tasawwur Islam
Kertas peperiksaan beserta markah cemerlang yang diperolehi Dharshini

Semalam, Dharshini memuat naik ciapan di Twitter dengan menyertakan gambar dirinya serta kertas peperiksaan subjek Tasawwur Islam beserta markah tinggi yang diperolehinya.

Syabas Dharshini! – AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply