WANITA DIDAKWA MANGSA KES GANGGUAN SEKSUAL EBIT LEW BUAT LAPORAN POLIS DI BUKIT AMAN

Sumber Gambar: BERNAMA

TENOM: Seorang pakar motivasi memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa wanita yang didakwa menjadi mangsa gangguan seksual Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, memutuskan untuk membuat laporan polis di Bukit Aman.

ARTIKEL BERKAITAN – WANITA KONGSI TANGKAP LAYAR PERBUALAN EBIT LEW DAN GAMBAR LUCAH – SAKSI

Mohd Fairuz Abu, 37, berkata wanita itu tidak mahu membuat laporan polis di tempat kejadian iaitu di Tenom kerana khuatir identiti beliau diketahui saudara mara dan kenalannya.

“Wanita berkenaan memberitahu saya di Tenom ramai yang boleh tahu beliau membuat laporan polis. Laporan di Bukit Aman bertujuan untuk menjaga keselamatan beliau,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Kamarudin Mohmad Chinki.

Menjawab soalan peguam Ram Singh, saksi pendakwaan pertama itu berkata beliau adalah pengikut tertuduh di media sosial namun tidak lagi selepas kes tersebut.

Ram Singh: Saya katakan kepada awak bahawa awak telah memutuskan pada 26 Julai 2021 untuk tidak lagi menjadi pengikutnya kerana awak berhasrat menularkan isu dalam kes Tenom.

Mohd Fairuz: Tidak setuju.

Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi Whatsapp antara Mac dan Jun tahun lepas.

Pendakwah selebriti itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani bersambung esok.–AlHijrah Online

Leave a Reply