WANITA PAKISTAN DIDAKWA DI MAHKAMAH CUBA CULIK KANAK-KANAK DI GENTING HIGHLANDS

RAUB: Seorang wanita warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan cubaan menculik kanak-kanak di Genting Highlands pada 19 September lalu.

Bagaimanapun tiada kertas pertuduhan dibacakan kerana tertuduh, Bibi Nasihat, 42, tidak memahami Bahasa Melayu dan Inggeris, sementara dia hanya boleh berbahasa Pashto.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya S Punitha memohon mahkamah untuk mengenakan ikat jamin terhadap tertuduh sebanyak RM7,000 serta dua penjamin warganegara Malaysia.

Namun peguam mewakili tertuduh, Amir Khusyairi Mohamad Tanusia meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan memandangkan tertuduh baru sahaja tiba di Malaysia sejak sebulan lalu.

Selain itu, tertuduh juga tidak bekerja dan bergantung kepada pendapatan suaminya yang merupakan pembantu kedai perabot dengan pendapatan RM1,600 sebulan.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 bersama seorang penjamin warga Malaysia serta pasport miliknya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 1 November depan mengikut Seksyen 350 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 352 akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini tertuduh ditahan pada 22 September lalu selepas tular dakwaan cubaan menculik seorang kanak-kanak di Genting Highlands, Bentong.—AlHijrah Online

Leave a Reply