WANITA PANDU LAWAN ARUS DI LEBUH RAYA DITAHAN

KULAI: Seorang wanita tempatan yang dipercayai memandu secara melawan arus di Kilometer (KM) 31.2, Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke daerah ini semalam, ditahan di sebuah pangsapuri sekitar Kangkar Pulai, Johor Bahru petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata wanita berusia 35 tahun itu yang ditahan pada 1 tengah hari tadi kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk tindakan selanjutnya.

“Turut dirampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih untuk siasatan lanjut,” kata beliau dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

Semalam, polis mengesan video berdurasi 11 saat yang tular memaparkan sebuah kereta Perodua Myvi Putih dipandu melawan arus dengan memasang lampu kecemasan di lokasi berkenaan, menerusi laman Facebook kira-kira 9.55 pagi.–AlHijrah Online

Leave a Reply