Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

WARGA EMAS MAUT TERKENA TEMBAKAN SENAPANG BUATAN SENDIRI

DALAM NEGARA

WARGA EMAS MAUT TERKENA TEMBAKAN SENAPANG BUATAN SENDIRI

Seorang lelaki warga emas maut akibat terkena tembakan senapang patah buatan sendiri ketika melakukan aktiviti memburu bersama enam rakannya di kawasan hutan Tebu Hitam, Rompin, pada Ahad.

KUANTAN: Seorang lelaki warga emas maut akibat terkena tembakan senapang patah buatan sendiri ketika melakukan aktiviti memburu bersama enam rakannya di kawasan hutan Tebu Hitam, Rompin, pada Ahad.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pihaknya telah menerima laporan berkaitan insiden yang menimpa mangsa berusia 62 tahun itu pada hari sama.

“Ketika kejadian senapang patah buatan sendiri itu dikatakan telah meletup dan terkena jari kelengkeng tangan kanan lelaki itu sebelum kena sisi dada sebelah kanannya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan pada Isnin, mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan tembakan pada dada dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, Yahaya berkata pihaknya telah menahan enam lelaki termasuk seorang Orang Asli berusia 35 hingga 67 tahun kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pemburuan haram selain merampas lima senapang patah buatan sendiri dan satu senapang patah jenis Benelli Armi-Urbino bersama 25 butir peluru penabur.

Beliau berkata siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana individu memiliki sebarang senjata api buatan sendiri atau pemilikan tanpa lesen sah.

Yahaya turut menegaskan, mana-mana individu yang memiliki senjata api buatan sendiri atau tanpa lesen sah agar segera menyerahkannya kepada polis sebelum tindakan tegas diambil. —AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading