ZAHID TIDAK BOLEH BAWA MANDAT PARTI TANPA PERSETUJUAN MKT UMNO, MT BN

Gambar Fail Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi — Bernama

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh membawa mandat parti tanpa persetujuan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Majlis Tertinggi Barisan Nasional.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebarang keputusan yang dibuat oleh presiden parti tanpa proses itu dikira tidak sah dari segi perlembagaan parti.

“Sementara ahli UMNO menunggu tindakan berjiwa besar presiden untuk meletak jawatan dengan kadar yang segera, beliau sebaliknya, kalau betul sebagaimana yang dilaporkan media, sedang sibuk berunding dengan Pakatan Harapan DAP.

“Beliau yang telah mengetuai kita semua ke medan perang dan disebabkan imejnya antara punca kekalahan teruk BN, tidak sepatutnya mewakili parti untuk berunding dengan mana-mana pihak.

“Keputusan terakhir UMNO adalah tidak akan bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar dan DAP. Marilah kita terus bermaruah dan berprinsip walaupun diuji dengan kekalahan. InsyaAllah ada hikmahnya,” kata Onn Hafiz hari ini.

Beliau dalam pada itu sekali lagi memohon dan merayu agar Ahmad Zahid segera meletak jawatan secara terhormat sebagai Presiden UMNO.

Sebuah portal media tempatan melaporkan terdapat pertemuan antara pimpinan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Hotel Seri Pacific pagi ini, namun perincian pertemuan itu tidak didedahkan.

Semalam Ahmad Zahid berkata BN tidak pernah berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan bagi penubuhan Kerajaan Persekutuan bersama Perikatan Nasional (PN).

BN juga kata Ahmad Zahid, tidak melakukan sebarang rundingan dengan PN bagi tujuan itu.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kenyataan Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang juga Premier Sarawak, bahawa gabungan itu hari ini bersetuju untuk membentuk gabungan bersama PN, BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk Kerajaan Persekutuan. – AlHijrah Online

Leave a Reply