ZULKIFLI BEBAS COVID-19, SUDAH DIBENARKAN KELUAR HOSPITAL

KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan pulih sepenuhnya daripada COVID-19.

Menurut kenyataan di Facebook rasminya, Zulkifli memaklumkan telah dibenarkan keluar dari wad hari ini selepas disahkan bebas COVID-19.

“Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua.

“Saya telah dibenarkan untuk keluar dari wad pada petang ini kerana telah disahkan pulih sepenuhnya daripada COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan beliau untuk berehat di rumah sehingga selesai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Zulkifli disarankan untuk tidak bertemu sesiapa, bagaimanapun sebarang pertemuan boleh dibuat melalui sidang video sahaja.

“Saya akan terus memantau semua gerak kerja dan laporan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya dari rumah.

“Apa-apa makluman umum akan disampaikan melalui media sosial saya,” tambahnya.

Fokus utama Zulkifli selepas keluar dari wad adalah penyaluran bantuan kepada kelompok sasar terutama di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor susulan PKPB dilaksanakan di kawasan itu.

Sementara itu beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ahli jemaah menteri dan para ulama dunia yang menghantar pesanan mesej kepada beliau serta semua rakyat Malaysia yang mendoakannya.

“Tidak lupa (terima kasih) kepada Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan warga KKM khususnya di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban,” katanya.

Beliau turut mendoakan rakyat Malaysia yang menghidapi COVID-19 sembuh dengan segera agar dapat menjalani kehidupan bersama keluarga tercinta.—AlHijrah Online

Leave a Reply