COVID-19: ZULKIFLI MOHON PESERTA HIMPUNAN TABLIGH JALANI PEMERIKSAAN KESIHATAN

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini memohon peserta yang hadir perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling baru-baru ini supaya menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital atau klinik berdekatan.

Zulkifli berkata perkara itu turut ditekankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika beliau menghadap Seri Paduka sebelum solat Jumaat hari ini, yang meminta semua pihak memberi kerjasama penuh dalam usaha kerajaan membendung penularan wabak COVID-19.

“Justeru, pergilah ke hospital atau klinik kesihatan berdekatan untuk menjalani pemeriksaan.

“Semoga wabak COVID-19 berarak pergi dan sinar kegembiraan dengan nikmat kesihatan singgah berlabuh ke bumi Malaysia,” katanya dalam catatan dimuatkan di Facebook beliau hari ini.

Zulkifli berkata beliau percaya semua peserta perhimpunan tabligh itu sentiasa memikirkan nasib ummah.

Ketika ini, petugas Kementerian Kesihatan giat menjalankan pemeriksaan kesihatan di masjid itu yang kini ditutup sementara bagi kerja-kerja disinfeksi.

Jemaah tabligh terbabit menjadi tumpuan ramai susulan laporan ada dalam kalangan peserta yang hadir di acara itu disahkan dijangkiti COVID-19. — AlHijrah Online

Leave a Reply