11 INDIVIDU TERMASUK DUA REMAJA BAWAH UMUR DITUDUH TIPU LEBIH RM45,000

MELAKA:  Sebelas individu termasuk dua remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini masing-masing terhadap tujuh pertuduhan menipu membabitkan RM45,534.74.

Mereka ialah Sharifah Nur Natasha Syed Mohd Hata, 21; Muhamad Faizal Abdullah, 22; Yap Soon Lin, 23; pasangan adik beradik Muhammad Ikmal Rizal Hamdan, 22; dan Muhammad Haiqal, 19; Yap Zhen Xiang, 19; Teong Wai Keat, 19; Goh Chun Rong, 19; Lee Yih Hong, 18; dan dua remaja bawah umur dituduh secara bersama di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mereka didakwa bersetuju antara satu sama lain untuk memperdaya tujuh individu menyerahkan wang bagi mendapatkan pinjaman yang kesemuanya berjumlah nilai RM45,534.74 di Taman Cheng Perdana di sini antara 11 April hingga 20 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 120(b)(1) kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Peguam Joel Chua memohon jaminan dikurangkan memandangkan kesemua tertuduh masih muda dan tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan jaminan berjumlah RM26,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 31 Julai untuk sebutan semula kes.–AlHijrah Online

Leave a Reply