11 TAHUN: TV ALHIJRAH TERUS TERBANG TINGGI – ZULKIFLI

Image

KUALA LUMPUR: “Saingan yang diberikan bocah 11 tahun ini, jangan dipandang enteng! Kerana itulah TV Alhijrah terus dihormati dan disegani.”

Demikian tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam catatannya di laman sosial sempena ulang tahun ke-11, TV Alhijrah pada 1 Muharram tahun ini.

Menurut Zulkifli, TV Alhijrah bukan untuk menyaingi mana-mana stesen televisyen lain, namun kedudukannya sangat istimewa kerana elemen-elemen agama yang tersendiri ada pada TV Alhijrah.

“Sepanjang 11 tahun ini, saya melihat sendiri perkembangan TV Alhijrah yang begitu membanggakan. Bermula daripada siaran yang hanya di Selangor, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak, kini slogan “TV Kita Untuk Semua” sudah mencapai ke Singapura, Brunei, Thailand (Selatan Thailand) dan Indonesia (Riau dan Kalimantan).

“Usia 11 tahun bagi seorang manusia, sudah cukup matang untuk membezakan baik dan buruk. Jika saya mempunyai anak yang berusia 11 tahun, saya sudah mengizinkannya untuk memberi keputusan dalam beberapa hal yang sesuai dengan usia dan pengalamannya,” jelasnya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Mengulas lanjut, Zulkifli yang dipertanggungjawab menjaga TV Alhijrah sebagai salah satu agensi di bawah kementeriannya, telah diberikan kebebasan sepenuhnya kepada stesen televisyen itu untuk berkarya dan bereskperimentasi selagi dalam lingkungan syarak.

Jelasnya, TV Alhijrah akan terus menyediakan kandungan kreatif Islam yang membudayakan elemen akidah, akhlak dan syariah.

“TV Alhijrah tidak boleh sekadar ‘ada’ tetapi peranannya perlu terus dirasakan oleh semua pihak. Bukan lagi di peringkat nasional, tetapi global.

“Terbanglah dengan lebih tinggi. Jadilah anak yang pemberani. Sebagai ‘bapa’, saya sentiasa ada bersama kerana segalanya bermula di sini, di hati.

“Saya sayang stesen televisyen Islam nombor satu negara ini,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply