17 INDIVIDU TERMASUK SEKUMPULAN PENJAWAT AWAM DIKOMPAUN BERSUKAN

Gambar hiasan.

AYER KEROH: Seramai 17 individu termasuk kumpulan penjawat awam dikenakan kompaun RM1,000 akibat melakukan aktiviti bersukan di Hutan Rekreasi Sungai Udang, di sini petang semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, semua individu berusia antara 13 tahun hingga 41 tahun itu dikenakan kompaun di bawah Peraturan 10, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Penyakit Berjangkit 2021.

Beliau berkata, dalam kejadian sekitar jam 6 petang semalam, sepasukan pemantau bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 sedang melakukan rondaan, sebelum mendapati kira-kira 36 individu sedang melakukan aktiviti bersukan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, seramai 19 individu berjaya melarikan diri bagi mengelak dikenakan kompaun meskipun mereka sedia maklum semua taman rekreasi di negeri ini tidak boleh beroperasi sepanjang tempoh PKP.

“Pada awalnya kita berjaya tahan 36 orang, tapi 17 orang sahaja kami berjaya kompaun dan selebihnya melarikan diri.

“Pihak kami bersama-sama kerajaan negeri Melaka bersama Ketua Menteri untuk kurangkan kes COVID-19 di Melaka ini,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan taman-taman awam di kawasan PKP ditutup dan tiada sebarang aktiviti sukan atau riadah dibenarkan sepanjang tempoh perintah itu.
 
Aktiviti riadah seperti ‘joging’ dan berbasikal sahaja dibenarkan di kawasan kejiranan sahaja dan terhad kepada dua orang satu rumah, tambahnya.—AlHijrah Online

Leave a Reply