17 NGO MYAQSADEFENDERS SASAR DANA RM10 JUTA BANTU PALESTIN

KUALA LUMPUR: Terkesan dengan situasi di Palestin, gabungan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai MyAqsaDefenders (Kumpulan Mempertahankan alAqsa Malaysia) mensasarkan kutipan dana RM10 juta untuk disalurkan kepada warga Palestin di wilayah konflik itu.

Kutipan dana itu akan digunakan untuk menyalurkan bantuan fasa kecemasan, bantuan jangka sederhana dan bantuan jangka panjang kepada warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang kini diserang rejim zionis Israel.

Digerakkan 17 NGO Malaysia dipelopori anak muda dengan barisan aktivis kemanusiaan dan “influencer”, MyAqsa juga melancarkan kempen serangan siber menularkan hashtag #ShameOnIsrael dan #IsraelKoyak menjelang Syawal sebagai mengecam dan mengutuk serangan rejim Israel ke atas Al-Quds dan Gaza.

MyAqsaDefenders adalah kerjasama bersejarah yang menyaksikan 17 NGO Malaysia bekerjasama untuk menyalurkan bantuan kepada Palestin, menggerakkan kempen siber mengecam Israel dan bertekad mengemukakan pelaksanaan agihan bantuan kepada Palestin secara telus kepada umum.

“MyAqsaDefenders meyakini bahawa objektif gabungan ini tidak akan terlaksana tanpa perancangan dan pelaksanaan yang strategik, bersepadu, tersusun dan pantas. Gabungan ini komited untuk merancang dan bertindak agar terhasil impak dan kesan yang positif kepada isu yang sudah terlalu lama menjadi buah catur kuasa-kuasa besar dunia,” demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Nadir Al-Nuri membacakan kenyataan MyAqsaDefenders hari ini.

Setakat ini, MyAqsaDefenders berjaya mengumpulkan RM2 juta melalui gabungan NGO terbabit untuk mencapai sasaran dana RM10 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta telah pun disalurkan bagi memenuhi keperluan membaik pulih Klinik Al-Aqsa yang terjejas di samping memastikan stok ubat dan juga keperluan rawatan kecemasan sentiasa tersedia termasuk alatan seperti ventilator bergerak.

“Sebahagian daripadanya juga telah dimanfaatkan untuk bantuan kewangan segera kepada murabitin Al-Quds, bayaran kos guaman mereka yang telah ditangkap sama ada di dalam insiden Al-Aqsa atau Perkampungan Syeikh Al-Jarrah serta kafalah sara hidup penduduk Kota Lama Al-Quds,” kata Nadir Al-Nuri.

Sebanyak RM1 juta lagi diperuntukkan bagi bantuan membaik pulih infrastruktur dan rumah penduduk di Kota Lama al-Quds bertujuan memastikan penduduk terus bertahan dan mengekalkan demografi rakyat Palestin di kawasan tersebut.

Mengulas mengenai kempen siber MyAqsaDefenders, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Dr Sani Arabi Al-Kahery berkata, kempen siber itu berjaya meningkatkan kesedaran warganet mengenai kekejaman dilakukan rejim zionis.

“Kempen ini berjaya menularkan serta memberi impak kepada Israel di Facebook, Instagram dan Twitter sehingga carian maksud perkataan ‘koyak’ turut meningkat mendadak di internet, carian google,” katanya pada sidang media sama.

Dr Sani menegaskan adalah penting untuk umat Islam menguasai media dalam usaha dunia Islam menentang naratif media barat yang bertujuan menormalisasikan penjajahan dan kekejaman Israel ke atas Palestin.

Aktivis kemanusiaan dan influencer, Heliza Helmi pula merayu rakyat Malaysia menggunakan kesempatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sekarang untuk membantu rakyat Palestin yang ditindas, demi ummah.

Dalam sidang media sama, Presiden ABIM, Faisal Aziz turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk menguatkuasakan resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334 yang mengharamkan pendudukan rejim Israel ke atas wilayah Palestin, termasuk di Baitulmaqdis Timur.

MyAqsaDefenders tercetus ekoran insiden pencerobohan dan tindakan tidak berperikemanusiaan rejim zionis ke atas Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang merupakan identiti dan lambang maruah umat Islam.

Ia juga ekoran pengusiran penduduk asal Palestin dari rumah dan kediaman mereka di perkampungan Syeikh Al-Jarrah, sebelum diikuti serangan rejim Israel ke atas wilayah Gaza yang setakat ini mengorbankan 109 warga Palestin dan ratusan cedera.

MyAqsaDefenders dibentuk gabungan NGO iaitu Cinta Gaza Malaysia (CGM), Global Peace Mission (GPM) Malaysia, MAPIM Malaysia, Malaysia For Syria (MFS), Iman Care, Pertubuhan Wilayah Ummah Malaysia (One Nation), Azhar Care, Pertubuhan Dana Kita, Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Cinta Syria Malaysia (CSM), MyFundAction, Philandure, Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Warga Cakna dan Cakna Palestin.

Barisan influencer MyAqsaDefenders pula terdiri daripada Heliza Helmi dan Hazwani Helmi; MizzNina dan Noh Salleh – MinQalby Foundation; Faizal Tahir – iamfaithmen, Into Taqwa Malaysia; Fedtri Yahya, IM Fakhrul dan Dahlia Shazwan.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan kepada NGO terbabit atau terus ke laman Facebook MyAqsaDefenders untuk maklumat lanjut program di Gaza dan Tebing Barat, Palestin. – AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply