200 PENGUSAHA NASI KANDAR TERTEKAN KEHILANGAN PEKERJA WARGA ASING

GEORGETOWN: Perniagaan hampir 200 pengusaha restoran nasi kandar di Pulau Pinang berdepan masalah untuk terus bertahan berikutan kehilangan hampir separuh pekerja khususnya pekerja warga asing.

Masalah itu tetap timbul walaupun kerajaan sudah membenarkan kebenaran rentas negeri dan ‘dine in’.

Presiden Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia, Mohamed Rizdwan Abdul Ghafoor Khan berkata, ketika ini terdapat kira-kira 20,000 pekerja asing yang bekerja dalam sektor makanan di negeri itu berbanding 40,000 orang sebelum pandemik COVID-19.

Mohamed Rizdwan Abdul Ghafoor Khan

Berikutan masalah itu, ada sebahagian pengusaha restoran nasi kandar masih belum membenarkan pelanggan untuk makan di kedai masing-masing.

“Kita rasa tertekan diatas beberapa sebab, salah satunya adalah kerana SOP yang ditetapkan dan ketidakcukupan pekerja untuk memberi servis kepada pelanggan yg hadir terutamanya selepas rentas negeri minggu ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan agar mempercepat dan memudahkan urusan kemasukan semula pekerja asing dalam sektor makanan untuk menyokong kelangsungan perniagaan mereka.

Sementara itu, Pengusaha Nasi Kandar Hameediyah, Ahamed Seeni Pakir Abdul Sukkor, 66, berkata, dia turut terkesan berikutan kehilangan ramai pekerja asing.

“Kita dalam keadaan genting sekarang, dimana kita kekurangan pekerja untuk menyediakan makanan dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kita, kami (pengusaha nasi kandar) memerlukan pekerja yang ramai untuk mengawasi situasi pelanggan di kedai kami,jadi kami amat berharap kerajaan akan membenarkan kemasukan pekerja asing jd ia akan mengurangkan beban kami pengusaha nasi kandar untuk memantau pelanggan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengesahkan kemasukan pekerja asing akan dilaksanakan secara berperingkat bermula bulan depan memandangkan negara masih berdepan ancaman wabak COVID-19.
–AlHijrah Online

Leave a Reply