204 PETUGAS PPV IDCC POSITIF COVID-19

Sumber: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seramai 204 petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam didapati positif COVID-19 hasil ujian saringan yang dijalankan pada 10 Julai 2021.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, ujian saringan beramai-ramai ke atas kesemua 453 petugas di PPV IDCC itu dibuat selepas dua sukarelawan disahkan positif.

Ujar Khairy 400 orang daripada petugas tersebut sudah divaksin, sementara 12 peratus lagi belum divaksin.

“Keputusan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) telah menunjukkan kesemua yang positif mempunyai ‘Cycle Threshold’ (CT Value) lebih daripada 35 di mana mereka mempunyai virus yang rendah.

“Sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai keputusan saringan pada jam 11 malam semalam, saya telah mengarahkan penutupan IDCC serta merta selama satu hari hari ini supaya kerja-kerja sanitasi dijalankan oleh pihak bomba.

“PPV IDCC akan dibuka semula pada hari esok,” katanya hari ini.

Menurut Khairy mereka yang mempunyai temu janji vaksinasi di IDCC hari ini akan mendapat tarikh yang baru.

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) katanya akan terus meningkatkan semua usaha untuk memastikan PPV IDCC adalah selamat bagi menerima kehadiran orang ramai untuk suntikan vaksin pada hari-hari seterusnya.

“Saya ingin menyeru orang ramai untuk hadir ke janji temu mereka di PPV IDCC seperti biasa selepas ini di samping mematuhi SOP dan penjarakan fizikal sepanjang masa, datang mengikut masa yang diberikan dan tidak terlalu awal serta pastikan terus pulang selepas selesai urusan vaksinasi bagi meminimumkan masa pendedahan di kawasan umum.

“Selain daripada langkah yang diambil di PPV IDCC itu sendiri, saya juga mengarahkan PPV lain untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Tambah beliau berikutan angka kes jangkitan COVID-19 yang tinggi di Lembah Klang, adalah sukar untuk dipastikan sama ada sesuatu jangkitan itu berlaku di IDCC atau di tempat lain.

Namun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga, CITF menyarankan kepada mereka yang hadir bagi vaksinasi di IDCC pada 9 Julai pada jam 4 petang ke atas untuk memantau gejala selama 10 hari. — AlHijrah Online

Leave a Reply