27 PPR DAPAT INTERNET PERCUMA SEMBILAN BULAN

BUTTERWORTH : Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan ( KPKT) menjangkakan 30 projek rintis program Jalinan Digital Negara di Projek Perumahan Rakyat ( PPR ) 2.0 (Jendela@PPR 2.0) di seluruh negara siap sepenuhnya menjelang April ini.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, setakat ini, sebanyak 27 PPR telah mendapat kemudahan internet secara percuma yang disediakan selama sembilan bulan manakala bakinya akan menerima manfaat sama dalam tempoh terdekat.
Kor Ming berkata, projek yang menelan kos RM22 juta itu akan membantu meningkatkan taraf hidup 53,000 warga PPR dari kumpulan B40 selain memastikan kehidupan yang lebih lestari.
“Seramai 53,000 penghuni PPR akan menerima manfaat internet percuma selama sembilan dan selepas tamat akses, mereka mempunyai pilihan untuk melanggan pakej internet disediakan dengan harga yang lebih kompetitif selain lebih murah daripada pasaran,” katanya.
Kor Ming berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan meninjau kemudahan akses internet di PPR Taman Bagan Jaya di Butterworth hari ini.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, seramai 1,488 penghuni di situ bakal menikmati kemudahan akses internet percuma selama sembilan bulan.
Katanya, projek melibatkan 382 unit rumah di situ dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac ini.
Program Jendela yang melibatkan 30 projek rintis meliputi 13,218 unit rumah melibatkan kerja-kerja pemasangan kabel gentian optik, router dan modem serta perkhidmatan internet berkapasiti 30 Mbps di setiap unit rumah. – AlHijrah Online