3,000 POLIS KAWAL KESELAMATAN DI SUNGAI BESAR ESOK

pdrm

SUNGAI BESAR, 17 Jun – Kira-kira 3,000 anggota polis akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan pada hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Sungai Besar esok.

Pegawai Perhubungan Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi PRK berkenaan ACP Khalil Ariffin berkata anggota polis akan ditempatkan di setiap persimpangan dan di semua Pusat Daerah Mengundi.

“Bagi memastikan kelancaran hari mengundi esok, pengundi dinasihatkan keluar awal. “Bagi pengundi luar pula, polis ingin menasihati mereka datang ke sini awal bagi mengelakkan kesesakan jalan raya yang dijangka berlaku di Jalan Persekutuan Klang-Teluk Intan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya pengundi tidak perlu risau untuk keluar mengundi kerana pihak polis sentiasa bersedia mengawal keselamatan.

“Polis turut bersedia mengawal keadaan di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Sri Bernam semasa pengumuman keputusan PRK dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Rayaa pada malam itu,” katanya.

Tambah Khalil, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya yang tidak mempunyai apa-apa urusan di Sungai Besar agar menggunakan laluan alternatif sekiranya hendak ke Teluk Intan atau Kuala Selangor.

Mengulas mengenai jumlah laporan sepanjang tempoh berkempen, Khalil memberitahu bahawa sebanyak 26 laporan polis telah dibuat termasuk satu laporan poster calon bertanding disimbah cat di Sekinchan.

“Kami menerima laporan berkenaan pada kira-kira pukul 10 pagi tadi di Balai Polis Sekinchan oleh orang awam, berdasarkan siasatan awal dipercayai kejadian berlaku pada lewat malam atau awal pagi tadi,” katanya.

Khalil berkata 10 kertas siasatan berkaitan kesalahan sepanjang tempoh berkempen telah selesai dijalankan dan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

“Kertas siasatan berkenaan melibatkan kes curi, koyak dan bakar poster calon serta fitnah,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply