65 PELAJAR SEKOLAH SERI PUTERI POSITIF COVID-19

KUALA LUMPUR: Seramai 65 murid Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya didapati positif COVID-19 dan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, semalam.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengesahkan perkara tersebut selepas melakukan pemantauan di sekolah tersebut, malam tadi.

Menurutnya, pada awalnya seorang guru dijangkiti COVID-19, kemudian saringan kontak rapat mendapati terdapat seorang lagi guru dan enam pelajar yang juga positif.

“Dalam usaha Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang mengurangkan jumlah pelajar di asrama sekolah itu, mereka menjalankan saringan kepada lebih 200 pelajar hari ini.

“Daripada 200 pelajar ini, 65 orang telah didapati positif dan dibawa ke MAEPS untuk pemantauan,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebooknya.

Ujar Radzi, saringan terhadap baki pelajar akan turut dijalankan pada hari ini dan pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan PKD bagi memastikan pelajar di sekolah tersebut berada dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi ciapannya di Twitter pagi ini berhubung kes positif COVID-19 di Sekolah Seri Puteri memaklumkan seramai 451 orang telah disaring dan didapati 73 orang (dua guru; 71 pelajar) didapati positif COVID-19.

Seramai 242 orang kontak rapat telah diarahkan untuk menjalani kuarantin sementara pelajar dikuarantin di asrama sekolah tersebut, dan kesemua guru dan pelajar telah lengkap menerima vaksinasi COVID-19.– AlHijrah Online

Leave a Reply