ABANG MAUT, ADIK PARAH MOTOSIKAL BERTEMBUNG SESAMA SENDIRI

Keadaan salah sebuah motosikal yang ditunggangi adik-beradik yang bertembung sesama sendiri di Padawan, Sarawak, malam tadi.

PADAWAN: Seorang lelaki maut manakala adiknya parah selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung sesama sendiri di Jalan Mambong, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada ahli keluarga, mangsa berusia 26 tahun cuba mencari adiknya berusia 18 tahun yang pergi memancing.

Katanya, kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 7.30 malam itu berlaku disebabkan kedua-dua lampu motosikal yang ditunggang mangsa tidak berfungsi.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika adik mangsa sedang bergerak lurus dari arah Kuching ke Kampung Sikog, sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa yang secara tiba-tiba masuk ke laluan adiknya.

“Akibat pertembungan itu, adik mangsa cedera parah di bahagian kepala dan masih dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS), manakala mangsa yang turut cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Superintendan Abang Zainal berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HUS untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –AlHijrah Online

Leave a Reply