‘ABANG VIVA’ TERIMA PENGHORMATAN DUN MELAKA

AYER KEROH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini memberi penghormatan kepada Azwan Omar, 29 atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Viva’ yang membantu mangsa banjir di beberapa negeri sehingga mendapat perhatian masyarakat baru-baru ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengakui tersentuh dengan usaha murni anak jati Alor Gajah berumur 29 tahun itu, yang sanggup membawa sebuah bot dengan menggunakan Perodua Viva miliknya dengan hanya berbekalkan wang RM50.

Tambahnya kerajaan negeri juga akan mengatur pertemuan dengan Azwan dalam masa terdekat.

“Yang membanggakan kita adalah beliau pergi ke sana dengan menggunakan kereta (Perodua) Viva dan membawa sebuah bot di atas bumbungnya dengan hanya berbekalkan duit sebanyak RM50 iaitu RM20 digunakan untuk mengisi minyak kereta dan RM30 bagi membeli makanan untuk mengalas perut.

“Jadi, apa salahnya kiranya kita mengucapkan tahniah dan penghormatan kepada sukarelawan hero orang Melaka ini dengan kita semua memberikan tepukan semangat kepada ‘Abang Viva’,” katanya.

Terdahulu, kisah Azwan menggunakan kereta jenis Perodua Viva dan sebuah bot dari Melaka ke Selangor bagi membantu mangsa banjir tular di laman sosial.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman turut mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM200,000 bagi membeli bot sebagai persiapan berdepan situasi banjir di negeri itu.

Katanya, langkah menambah aset itu bagi membolehkan bantuan awal dapat diberikan kepada mangsa-mangsa yang terjejas. — AlHijrah Online

Leave a Reply