DUA LELAKI MAUT DIREMPUH TRELER KETIKA ISI MINYAK DI LORONG KECEMASAN

REMBAU: Dua lelaki maut selepas dilanggar sebuah treler ketika kedua-duanya dipercayai ingin mengisi minyak lori di lorong kecemasan di kilometer 241.6, Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara), di sini, awal pagi tadi.

Menurut laporan, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu membabitkan tiga buah kenderaan iaitu lori jenis Isuzu, motosikal jenis Honda dan sebuah treler, kata Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Hazri Mohamad

Ujarnya, pemandu lori jenis Isuzu, Saifuddin Abdullah, 50, dan penunggang motosikal jenis Honda, R. Morgana Krishnan, 49, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan berhenti di lorong kecemasan kerana kehabisan minyak dan dibantu oleh penunggang motosikal yang datang membawa botol berisi diesel.

“Kemudian datang treler dari arah Ayer Keroh menghala ke Senawang merempuh mereka yang berdiri di sebelah kanan lori lalu kedua-dua mangsa melambung dan jatuh di atas lorong kecemasan di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasat.

Katanya, pemandu lori treler berkenaan telah meninggalkan lokasi selepas kemalangan dan usaha untuk mengesan pemandu sedang dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. –AlHijrah Online

Leave a Reply