AGONG BERKENAN KURNIA SUMBANGAN RM1.8 JUTA KEPADA 6,000 VETERAN ATM

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM1.8 juta daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada 6,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Majlis Pengurniaan Sumbangan Ampun Kurnia kepada veteran ATM yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan itu merupakan usaha MAIWP bagi membantu veteran ATM dalam kalangan B40.

Pada majlis tersebut, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan ampun kurnia berupa wang tunai dan hamper barangan makanan asas kepada 10 veteran ATM sebagai simbolik baginda berkenan berangkat menyantuni golongan veteran ATM yang telah banyak mencurahkan bakti kepada negara.

Majlis hari ini merupakan anjuran MAIWP dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Istana Negara, Kementerian Pertahanan dan badan bukan kerajaan Bantu-Bantu Malaysia.

Turut hadir ialah Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Ahmad Marzuk Shaary, Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien AlHabshee dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail.

Pesara ATM, Lokman Ali, 51, meluahkan rasa syukur akan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dalam mengiktiraf jasa dan bakti pahlawan negara.

Beliau berkongsi pengalaman berkhidmat bersama Al-Sultan Abdullah di Kem Sungai Udang, Melaka pada 2001 bagi mendapatkan penganugerahan beret hijau komando.

“Bagi mendapatkan anugerah beret hijau, Seri Paduka yang juga Tengku Mahkota Pahang ketika itu terpaksa melalui satu ujian bersama unit lawan keganasan gerak khas untuk berada di rumah tempur.

“Saya seorang daripada unit lawan keganasan yang melakukan satu tugas menyelamatkan tebusan yang mana senarionya Al-Sultan Abdullah sebagai tebusan dan saya ditugaskan menembak sasaran pengganas yang berada di kiri dan kanan Tuanku,” katanya lagi.

Menganggap ia sebagai pengalaman yang berharga, Lokman berkata misi tersebut berjaya dilaksanakan dengan jaya. – AlHijrah Online / Abdul Hakim Hassan

Leave a Reply