AGONG, PERMAISURI BERANGKAT MAJLIS BACAAN YASIN SEMPENA ULANG TAHUN SEBAGAI SULTAN

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin serta Doa Selamat di Surau Utama Istana Negara, di sini semalam.

Menurut kenyataan Istana Negara, majlis tersebut dianjurkan bersempena ulang tahun keempat Seri Paduka Baginda menaiki takhta sebagai Sultan dan Raja Pemerintah bagi negeri Pahang serta jajahan takluknya.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya Datin Seri Wan Azizah Ismail serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Yang di-Pertua (YDP) Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan YDP Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul bersama beberapa Menteri Kabinet turut hadir ke majlis sama.

“Yang Amat Mulia paduka-paduka anakanda Seri Paduka Baginda berdua serta kerabat-kerabat Diraja Pahang turut berangkat ke majlis tersebut yang dimulai dengan solat Maghrib berjemaah.

“Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan Exco kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Anwar Ibrahim dalam catatan di Facebooknya mendoakan semoga Seri Paduka Baginda berdua serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

“Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Dirgahayu Tuanku,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply