AGONG TITAH UMAT ISLAM SOLAT HAJAT TOLAK WABAK COVID-19

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar rakyat jelata masing-masing mendirikan solat hajat khusus menolak wabak COVID-19 yang sedang melanda negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau amat berharap kerjasama semua pihak menyahut titah Seri Paduka Baginda dengan melaksanakan solat hajat di rumah dan tempat masing-masing dengan mematuhi arahan ditetapkan Kerajaan.

Beliau berkata solat hajat boleh dilakukan pada waktu siang atau malam, kecuali pada waktu-waktu diharamkan solat.

“Begitu juga marilah kita membanyakkan istighfar, taubat, zikrullah dan amalan ketaatan serta munajat yang tidak putus-putus kepada-Nya,” kata Zulkifli dalam kenyataannya di sini hari ini.

Waktu diharamkan solat adalah sesudah solat Subuh hingga terbitnya matahari (kecuali di Tanah Haram), selepas terbitnya matahari hingga kadar tujuh hasta pandangan mata (kira-kira tiga darjah), ketika matahari tegak di atas kepala kecuali pada hari Jumaat, selepas solat Asar (kecuali berada di Tanah Haram) dan ketika matahari kemerahan di waktu senja hingga terbenam seluruh bulatannya (kecuali di Tanah Haram). — AlHijrah Online

Leave a Reply