COVID-19: PENANGGUHAN BAYARAN BALIK PINJAMAN ENAM BULAN – PM

KUALA LUMPUR: Bermula 1 April depan, bank-bank tempatan akan menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi mengurangkan beban rakyat di waktu mencabar ketika ini.

Pemegang kad kredit yang berdepan kekangan kewangan pula boleh memilih untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata fleksibiliti penangguhan pembayaran balik kad kredit itu boleh dimanfaatkan peminjam dari 1 April 2020 sehingga 31 Disember 2020.

Katanya, sektor korporat pula boleh berunding dengan pihak bank untuk menyusun semula pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan perniagaan mereka bagi meneruskan operasi syarikat, seterusnya mengekalkan pekerja.

Perdana Menteri berkata langkah-langkah di atas diputuskan hasil perbincangan Kementerian Kewangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membantu mengurangkan beban kelompok terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19.

“Kerajaan pada hari ini sentiasa mendengar permintaan dan denyut nadi rakyat. Saya sedar impak wabak Covid-19 ini bukan hanya menimbulkan keresahan dari segi kesihatan dan kesejahteraan, tetapi Perintah Kawalan Pergerakan ini juga menimbulkan keresahan rakyat dari segi kewangan.

“Rakyat pelbagai lapisan sama ada usahawan, petani, nelayan, pekerja harian tertanya-tanya akan kedudukan ekonomi mereka.

“Antara perkara utama menimbulkan keresahan ini ialah pembayaran balik pinjaman bank, baik dari segi peminjam persendirian mahupun Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang perniagaan mereka terjejas akibat penularan wabak ini,” kata Muhyiddin dalam kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac depan dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 yang setakat ini mengorbankan 17 individu dan menjangkiti lebih 1,624 orang di Malaysia.

Perdana Menteri berkata semua langkah-langkah penangguhan bayaran balik pinjaman, penyusunan baki kad kredit dan penstrukturan semula pinjaman perniagaan itu melibatkan jumlah nilai sekurang-kurangnya RM100 billion.

“Ini merupakan satu jumlah yang amat bermakna dan saya amat berterima kasih di atas keperihatinan Kementerian Kewangan, BNM dan industri perbankan,” kata Muhyiddin.

Perdana Menteri berkata Kerajaan juga sedang mengkaji pelbagai cara untuk mengurangkan beban rakyat dan satu lagi pelan rangsangan ekonomi akan dilancarkan tidak lama lagi yang lebih komprehensif demi rakyat dan ekonomi negara.

“Saya telah meminta Kementerian Kewangan dan BNM untuk memperincikan pengumuman ini dengan lebih mendalam agar rakyat memahami sepenuhnya manfaat yang ditawarkan,” katanya. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply