AHLI PERNIAGAAN BERDEPAN HUKUMAN MATI DISEBABKAN KEMATIAN PENGAWAL KESELAMATAN

IPOH: Seorang penyewa sebuah kondominium yang menyerang pengawal keselamatan pada Disember 2020, berdepan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan membunuh selepas mangsa terlibat meninggal dunia pada 27 Ogos lalu.

Tertuduh, Ahmad Noor Azhar Muhammad, 33, dihadapkan semula ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liyana Mohd Darus.

Menurut pertuduhan baharu itu, tertuduh didakwa membunuh mangsa, S. Thava Sagayam, 64, di Tingkat 7, Menara Majestic, di sini, antara jam 8 pagi hingga 9.30 pagi pada 29 Disember 2020.

Sebelum ini tertuduh yang juga ahli perniagaan didakwa pada 6 Januari lalu di bawah Seksyeh 335 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan parah.

Kes tersebut dijadualkan untuk sebutan semula hari ini namun mahkamah membenarkan pihak pendakwaan menarik balik dan melepaskan tanpa membebaskan tertuduh daripada pertuduhan asal.—AlHijrah Online

Leave a Reply