AKTIVITI SUKAN ‘INDOOR’ DIBENARKAN

KUALA LUMPUR: Semua aktiviti sukan tertutup (indoor) kecuali gimnasium dibenarkan bagi negeri-negeri di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, fasiliti sukan dan rekreasi komersil tertutup (indoor) juga dibenarkan beroperasi dengan kawal selia.

Bagaimanapun, kebenaran tersebut hanya untuk individu yang telah lengkap dua dos vaksin.

“Penggunaan fasiliti perlu dilakukan secara janji temu di samping pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Keputusan dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akan berkuatkuasa pada 10 September 2021,” dalam kenyataannya, hari ini.

Ismail Sabri turut mengumumkan, bagi sektor perdagangan dan pengedaran; perniagaan kedai bunga (nursery), kedai peralatan ‘outdoor’ dan galeri perumahan akan dibenarkan beroperasi mulai 10 September 2021 bagi negeri-negeri yang berada di bawah Fasa 1.

Ujarnya, bagi negeri-negeri yang berada di Fasa 2 dan 3, kelonggaran tambahan bagi aktiviti kedai gunting, ‘hair dresser’, dan salon kecantikan juga dibenarkan.

“Keterangan Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini akan dikemaskini oleh MKN dan kementerian berkaitan,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply