AKADEMI QURRA’: LAHN JALI PUNCA SAIFULLAH TERSINGKIR

KUALA LUMPUR: Penyingkiran Tilmiz Saifullah pada minggu separuh akhir program realiti Akademi Qurra’ berpunca dari kesalahan ‘Lahn Jali’ dalam bacaannya di pusingan pertama pertandingan itu semalam.

ARTIKEL BERKAITAN – AKADEMI QURRA’: NAZHIRAH, SAIFULLAH TERSINGKIR, LIMA PESERTA MARA PERINGKAT AKHIR

Ulama alim tentang ilmu al-Quran telah menggariskan dua jenis kesalahan dalam pembacaan al-Quran iaitui Lahn Jali dan Lahn Khafi.

Lahn Jali merupakan kesalahan nyata ataupun berat seperti tertukar baris atau kalimah sementara Lahn Khafi adalah kesalahan yang ringan dan boleh dimaafkan.

Tilmiz Saifullah atau nama penuhnya Saifullah Khanip Rofli, 19, telah tertukar huruf bacaannya pada Surah an-Naml ayat 21.

Juri jemputan Ustaz Dr Anuar Hasin berkata, Saifullah telah tertukar huruf ha (ح) kepada huruf jim (ج) pada bacaannya dalam kalimah …لَاَا۟ذْبَحَنَّهٗٓ…

Menurutnya, kesilapan tanpa sengaja Saifullah itu merupakan kesalahan berat dalam bacaan al-Quran.

Bagi Ketua Juri Ustaz Tarmizi Abdul Rahman, kesilapan Saifullah itu antara sebab remaja itu tersingkir pada peringkat separuh akhir semalam.

Beliau bagaimanapun yakin Saifullah akan belajar dari kesilapan dan akan semakin berhati-hati dalam bacaan selepas ini.

Selain Saifullah, Tilmizah Nazhirah atau Nurnazhirah Shaharudin, 24, juga tersingkir pada minggu separuh akhir.

Ini bermakna lima peserta Akademi Qurra’ iaitu Tilmizah Maghfirah; Tilmizah Nooraini; Tilmiz Fahmi; Tilmiz Zuhdi dan Tilmiz Akasyah akan berentap di peringkat akhir Akademi Qurra’ yang bersiaran langsung pada Sabtu 18 Mac 2023 jam 9 malam.—AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply