KUALA LUMPUR: Semua masjid dan surau di bawah agensi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan untuk mengadakan Solat Hajat dan Qunut Nazilah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, inisiatif itu akan diadakan selepas solat Maghrib hari ini dan selepas Solat Jumaat esok.
“Ia susulan tindakan biadap Israel yang memintas dan menghalang pasukan Global Sumud Flotilla ke Gaza, Palestin.
“Semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan juga akan membaca Khutbah Jumaat Khas berkaitan isu Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Na’im turut mengesyorkan kepada semua masjid dan surau Jumaat di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri turut mengambil langkah yang sama.
“Ayuh kita semua mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada pasukan Global Sumud Flotilla khususnya untuk rakyat Malaysia yang terlibat selain mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya.
Hari ini, media melaporkan seramai 12 rakyat Malaysia yang mengikuti misi Global Sumud Flotilla ke Gaza telah ditahan rejim Israel.
Beberapa kapal GSF telah dipintas Israel untuk menghalang misi tersebut diteruskan menuju ke Perairan Gaza.—AlHijrah Online