AMALAN MANDI SAFAR BUANG SIAL KHURAFAT, JAKIM PANGGIL USTAZ TERLIBAT

KOTA BHARU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memanggil seorang ustaz sekiranya perlu, berhubung kuliah agamanya mengenai mandi Safar yang tular sejak kelmarin.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, perkara tersebut sudah dalam pengetahuan serta pemantauan pihak jabatan agama negeri.

Jelasnya, amalan mandi Safar yang tular di media sosial itu adalah perkara khurafat yang telah pun disebut dalam hadis Bukhari dan Muslim bahawa tiada kesialan berkaitan bulan Safar.

“Ini antara amalan jahiliah yang kita kena buang serta ubah masyarakat kita supaya tidak menganggap bulan Safar sebagai bulan sial.

“Nabi Muhammad SAW menegur perkara berlaku sejak zaman jahiliah dan pada zaman Nabi pun, sudah ada sehingga Nabi sebut dalam hadis bahawa tidak ada kesialan dalam bulan Safar.

“Jika masyarakat kita cuba hidupkan kembali amalan mandi Safar ini, seolah-olah ia kembalikan kepada zaman jahiliah,” katanya, hari ini.

Baru-baru ini tular sebuah video kuliah agama dalam talian seorang ustaz berhubung amalan mandi Safar.

Menerusi kuliah tersebut, ustaz tersebut mengatakan mandi Safar adalah mandi pada Rabu terakhir bulan Safar sebagai usaha menolak bala.

Sementara itu, Ahmad Marzuk memaklumkan pihaknya telah mengarahkan JAKIM serta jabatan agama negeri supaya memantau kuliah oleh pemegang tauliah yang bebas mengajar di masjid dan disiarkan melalui media sosial.

Langkah tersebut adalah bagi memastikan isi kandungan ceramah berkenaan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.—AlHijrah Online

Leave a Reply