IBADAH HAJI DITERUSKAN – ARAB SAUDI

SUMBER: AFP

RIYADH: Ibadah haji akan berlangsung sebagai mana kelaziman pada musim ini, namun bilangan jemaah akan dihadkan, demikian menurut Saudi Press Agency yang memetik Kementerian Haji Arab Saudi.

Ia berikutan kebimbangan situasi bersesak-sesak ketika ibadah itu nanti boleh mencetus keadaan lebih buruk ketika dunia sedang berdepan ancaman virus pembunuh COVID-19.

Kerajaan Arab Saudi bagaimanapun belum memutuskan berapa jemaah akan dibenarkan mengerjakan ibadah itu untuk musim kali ini.

Bagi negara itu, aspek keselamatan dan kesihatan umum sentiasa menjadi keutamaan dalam penganjuran ibadah berkenaan kali ini, selain menuruti ajaran agama Islam berkaitan keselamatan nyawa.

“Arab Saudi memilih cara paling selamat kerana tidak mahu berkompromi dengan kesihatan awam”, menurut kenyataan Kementerian Haji Arab Saudi.

Kenyataan itu juga menyebut, pemilihan jemaah hanya dibuat ke atas rakyat dari pelbagai negara yang sedang menetap di Arab Saudi sahaja.

Beberapa negara sebelum ini memutuskan untuk tidak menghantar jemaah haji negara masing-masing sebagai langkah mengawal risiko jangkitan COVID-19. Ia termasuk Indonesia, Senegal, Singapura dan Malaysia.

Setakat laporan ini ditulis, angka kematian akibat virus itu mencecah lebih 1,300 orang di Arab Saudi, manakala kes positif rakyat tempatan kini meningkat kepada 161,000 kes. – AlHijrah Online / Ardi Herman

Leave a Reply