MAJLIS PERKAHWINAN JANGAN LEBIH LIMA JAM
Sumber: AFP
Kuala Lumpur: Lagi kelonggaran diberikan kerajaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini. Terbaharu, aktiviti keramaian termasuk majlis perkahwinan dan pertunangan dibenar untuk dilangsungkan bermula 1 Julai.
Bagaimana pun, jelas Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia masih tertakluk kepada syarat-syarat tertentu, antaranya kehadiran tetamu tidak boleh melebihi 250 orang, manakala tempoh majlis pula tidak boleh melebihi lima jam.
“Majlis sosial yang dibenarkan merangkumi kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis-majlis berkaitan agama seperti majlis tahlil, aqiqah, doa selamat dan majlis-majlis sambutan sosial seperti sambutan ulang tahun”.
Kata Datuk Seri Ismail Sabri lagi, kehadiran maksimum 250 orang pada satu-satu masa itu bagaimana pun tertakluk kepada saiz lokasi majlis. Hidangan secara buffet juga tidak dibenarkan kecuali menggunakan khidmat peramusaji.
Manakala itu, pintu keluar dan masuk bagi sesuatu acara perlu diasingkan bagi mengelak kesesakan tetamu, dan penganjur perlu menyediakan kaunter saringan kesihatan di pintu masuk untuk pemeriksaan suhu badan tetamu. Pemakaian pelitup muka serta rekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual diperlukan di majlis-majlis berkenaan. — AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi