KUALA LUMPUR: Arab Saudi nafi beberapa dakwaan media asing berhubung negara itu merancang untuk melesenkan penjualan alkohol yang dijangka akan bermula pada 2026.
Menurut sumber, dakwaan tersebut adalah palsu dan tidak mempunyai sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berkaitan yang sekaligus tidak menggambarkan dasar serta peraturan sedia ada di sana.
Memetik laporan Arab News, sumber berkenaan memaklumkan bahawa Arab Saudi di bawah visinya bercita-cita tinggi untuk membangunkan sektor pelancongan namun tetap komited untuk menawarkan pengalaman unik dan pendekatan kebudayaan.
Sementara itu, berhubung peraturan alkohol untuk diplomat bukan Islam, sumber menjelaskan bahawa Arab Saudi telah memperkenalkan rangka kerja baharu yang bertujuan menghalang penghantaran barangan itu tanpa kebenaran.
Ia termasuk, kedutaan negara bukan Islam tidak lagi dibenarkan mengimport alkohol dan barangan lain dalam penghantaran diplomatik.
Bagaimanapun, akses terkawal kepada barangan tersebut masih boleh dilakukan di bawah garis panduan kawal selia yang ketat untuk mengelakkan penyalahgunaannya.–AlHijrah Online