ARAK TIMAH BAKAL DISIASAT PIHAK BERKUASA

KUALA LUMPUR: Pelancaran serta pembuatan arak buatan Malaysia yang dikenali sebagai Arak Timah baru-baru ini mendapat pelbagai kecaman terutamanya dalam kalangan umat Islam di mana mereka mempertikai penggunaan nama timah yang berbunyi seakan-akan nama orang melayu.

Rata-rata netizen meluahkan rasa bimbang dengan pengeluaran arak tersebut yang mungkin mengelirukan anak remaja Islam.

Jenama tersebut telah dilancarkan pada 7 Oktober lepas dan disiarkan secara langsung menerusi Facebook.

Sehubungan dengan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata pihaknya sudah berhubung dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjalankan siasatan lanjut dalam masa terdekat.

“Kita akan siasat apa yang berlaku. Yang pasti bab arak ni memang kita konsisten dan tidak bersetuju,” katanya.

Meskipun Arak Timah tersebut telah memenangi pingat emas untuk Wiski Malaysia Terbaik dalam Pertandingan Wiski Antarabangsa, namun netizen menyifatkannya sebagai satu kebanggaan negara yang memalukan. – AlHijrah Online

Leave a Reply