BACAAN AL-QURAN SECARA LANGSUNG SELAMA 12 JAM DI TV ALHIJRAH 9 MEI INI

KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, stesen televisyen Islam utama negara, TV AlHijrah akan membuat siaran secara langsung selama 12 jam bacaan ayat Al-Quran menerusi program Khatam Perdana.

Program mengkhatamkan Al-Quran itu akan bermula pada jam 7.00 pagi hingga 7.00 petang pada 27 Ramadan bersamaan 9 Mei 2021 (Ahad).

Kesemua 30 juzuk Al-Quran akan dibaca dalam tempoh 12 jam pada program berkenaan.

Menurut Penerbit Khatam Perdana, Ashrudy Borhan, idea penganjuran program tersebut yang dicetuskan bersama Qari, Ustaz Tirmizi Ali, adalah bagi menyahut seruan Baginda Rasulullah SAW untuk memperbanyakkan membaca ayat-ayat kitab samawi terakhir itu di bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan.

“Kita gunakan medium televisyen untuk ajak lebih ramai umat Islam bersama-sama memperbanyakkan bacaan ayat suci Al-Quran.

“Selain bacaan ayat Al-Quran, program tersebut akan turut diselitkan dengan ilmu bacaan serta kisah-kisah dari kitab suci itu untuk dijadikan panduan,” kata Ashrudy.

Menurutnya, penonton yang berminat untuk bersama-sama mengalunkan bacaan ayat Al-Quran ketika siaran langsung program Khatam Perdana boleh melakukannya melalui aplikasi Zoom.

Pautan untuk menyertai Zoom tersebut akan dikongsi ketika siaran langsung tersebut.

Kata Ashrudy, beberapa personaliti TV AlHijrah, pendakwah, serta selebriti akan turut serta dalam program tersebut.

Antaranya, Ustaz Fazrul Ismail, Ustaz Tirmizi Ali, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Dr Farid Ravi, Amie Sofia, Farah Diana, Ustazah Asni, Ustazah Farhatul Fairuzzah, dan Diana Amir.

Para penonton diharap akan berpeluang untuk bersama-sama basahi bibir dengan kalimah suci selama 12 jam pada Ahad ini. — AlHijrah Online

Leave a Reply