BANJIR KILAT LANDA BEBERAPA KAWASAN DI IBU NEGARA

KUALA LUMPUR: Banjir kilat melanda beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang hari ini berikutan hujan berterusan sejak pukul 3 petang tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata sebanyak 11 laluan dinaiki air setakat 5 petang ini dengan enam laluan masih boleh dilalui iaitu Jalan Pahang, Jalan Dewan Bahasa, Jalan Sultan Ismail, Bulatan Sultan Hishamuddin, Jalan Pudu (berhampiran UTC Pudu) dan Jalan Mahameru.

Beliau berkata laluan trafik di enam laluan tersebut masih perlahan dan tiada kerosakan dilaporkan setakat ini, sementara lima laluan lain iaitu Jalan Segambut, Jalan Parlimen, Jalan Kinabalu, Jalan Sultan Abdul Halim dan Jalan Travers tidak boleh dilalui.

“Keadaan air banjir kilat sekarang semakin surut,” katanya ringkas kepada Bernama.

Terdahulu, Polis Kuala Lumpur memuat naik beberapa keping gambar menerusi laman Facebooknya yang mempamerkan anggota pasukan itu sedang membersihkan saliran longkang yang tersumbat bagi memastikan air banjir dapat surut dengan segera.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir kilat pada 3.51 petang.

Menurutnya, jentera dari tujuh balai melibatkan 42 anggota bergegas ke lokasi kejadian iaitu di Jalan Segambut Dalam, Kampung Masjid; Jalan Sentul Pasar Dalam; Jalan Maarof, Bangsar; Lembah Pantai (Lebuhraya Sprint); Jalan Kuching; PSN Beruas, Bukit Damansara; Jalan Kasipillay dan Jalan Parlimen.

“Terdapat seorang wanita yang berjaya dibawa keluar oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Gombak kerana kereta mangsa berada dalam arus banjir, bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan di lokasi lain.

“Keadaan air surut selepas 30 minit anggota berada di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

Hujan lebat berterusan sejak 3 petang tadi menyebabkan beberapa laluan di sekitar ibu negara dinaiki air dan menyebabkan kesesakan lalu lintas, namun tiada kerosakan dilaporkan setakat ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di seluruh negara hingga 5 dan 6 petang hari ini. – AlHijrah Online

Leave a Reply