BANJIR TERENGGANU SEMAKIN BURUK

KUALA TERENGGANU: Jumlah penduduk terjejas banjir di Terengganu meningkat kepada seramai 3,469 orang di lima daerah setakat jam 4 petang tadi.

Berdasarkan laporan laman web Info Bencana Negeri Terengganu, mangsa membabitkan keseluruhan 985 keluarga ditempatkan di 68 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman, Hulu Terengganu, Dungun, Besut dan Setiu.

Bilangan mangsa yang dipindahkan ke PPS semakin bertambah berbanding hanya 2,598 daripada 752 keluarga di 59 PPS setakat 12 tengah hari tadi.

Di Hulu Terengganu, 562 mangsa daripada 207 keluarga berada di 16 PPS, manakala di Besut, jumlah mangsa turut meningkat kepada 471 orang membabitkan 106 keluarga yang berada di 15 PPS setakat jam 4 petang.

Banjir di Kemaman juga semakin buruk apabila jumlah mangsa semakin bertambah dan 21 PPS diaktifkan bagi menempatkan 1,995 penduduk daripada 539 keluarga.

Jumlah penduduk dipindahkan ke 10 PPS di Setiu turut menunjukkan peningkatan dengan 305 mangsa daripada 105 keluarga, manakala di Dungun, 101 mangsa daripada 28 keluarga dipindahkan ke lima PPS. –AlHijrah Online

Leave a Reply